Tuesday, August 10, 2010

 Syor rumah guna alat pengesan asap

KUALA LUMPUR 20 April - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini mengesyorkan kepada kerajaan agar mewajibkan semua rumah menggunakan alat pengesan asap sebagai langkah mencegah tragedi kebakaran yang boleh meragut nyawa.
Presiden FOMCA, Prof. Dr. Hamdan Adnan berkata, langkah tersebut perlu diambil segera bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.
Menurut beliau, persatuan itu berpendirian memasang alat pengesan asap adalah lebih penting serta sesuai dalam usaha mencegah kebakaran serius terutama yang boleh mengancam nyawa kanak-kanak.
``Bagi kita soal penggunaan alat pengesan ini perlu diberikan lebih perhatian berbanding soal penggunaan jeriji besi.
``Ini kerana alat ini boleh memberi amaran awal tentang sesuatu kebakaran sekali gus memberi masa yang cukup kepada penghuni untuk menyelamatkan diri walaupun rumah itu berjeriji,'' katanya kepada Utusan di sini, hari ini.
Hamdan diminta mengulas tragedi kebakaran rumah yang menyebabkan kematian sejak akhir-akhir ini.
Terbaru kejadian yang berlaku di Kelana Jaya yang menyebabkan tiga beradik rentung dalam kejadian yang berlaku pagi Rabu lalu.
Mengulas lanjut, Hamdan berkata, FOMCA berpendapat sudah sampai masanya semua rumah diwajibkan menggunakan alat itu memandangkan ia terdedah kepada bencana kebakaran.
Katanya, tumpuan haruslah diberikan terhadap rumah-rumah teres dan bangunan kediaman tinggi seperti flat dan pangsapuri yang membabitkan ramai penghuni.
Beliau yakin, cadangan tersebut akan diterima baik oleh rakyat kerana harga alat itu tidaklah terlalu mahal.
``Alat ini boleh diperoleh dengan harga RM60 hingga RM70 seunit sahaja. Ia tidak terlalu mahal cuma tidak ramai yang mengetahuinya,'' katanya.
Dalam pada itu, Hamdan turut meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat menggiatkan program ceramah kesedaran dan pencegahan kebakaran di sekolah-sekolah di samping membuat hebahan melalui media.
``Tanpa diberi tunjuk ajar atau latihan, bagaimana kanak-kanak ini tahu cara menyelamatkan diri bila berlaku kebakaran. Di rumah mereka tidak diajar soal ini,'' katanya.
Selain itu, Hamdan meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pemeriksaan lebih kerap ke rumah-rumah yang berpotensi terbabit dalam kebakaran akibat litar pintas.
``Misalnya ke rumah-rumah yang telah lama dan masih menggunakan wayar elektrik yang usang,'' katanya.
Kata Hamdan, TNB juga boleh membuat pengumuman menggunakan bil elektrik yang diedarkan bagi mengingatkan orang ramai agar memeriksa wayar elektrik serta sambungan yang mereka gunakan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment